Tuesday, June 19, 2018
vital-top
updated 8:05 AM UTC, Jun 19, 2018

Tiada Sekatan Pengimportan Ikan, Tiada Ap Dikeluarkan - LKIM

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memaklumkan tiada  sebarang sekatan berhubung pengimportan ikan dari mana-mana negara, demikian menurut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

LKIM dalam satu kenyataan hari  ini juga berkata pihak kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang permit import (AP) ikan.

Bagaimanapun, bagi menjamin keselamatan makanan kepada rakyat, pengimport perlu mematuhi syarat yang terkandung dalam permohonan permit import yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi aktiviti import/eksport yang menggunakan pintu masuk/keluar di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengimport juga perlu mendapatkan Lesen Import dan Lesen Borong/Borong (Premis  Persendirian) LKIM terlebih dahulu sebelum mendapatkan permit import MAQIS, menurut kenyataan itu. 

Bagi aktiviti import/eksport yang menggunakan pintu masuk/keluar di Sabah dan Sarawak, permohonan perlu dibuat melalui LKIM dan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. 

Menurut kenyataan itu, syarat-syarat am yang diperlukan bagi mengimport ikan – basah, hidup dan ikan beku/proses adalah pemohon mestilah seorang warganegara Malaysia serta syarikat pemohon hendaklah berdaftar dalam Malaysia dan mempunyai lesen borong premis persendirian.

Maklumat lanjut mengenai permohonan lesen import ikan boleh dirujuk di www.maqis.gov.my dan   https://elesen.lkim.gov.my. 

LKIM berkata permohonan daripada ejen pengangkutan atau ejen forwarding untuk mendapatkan lesen import/eksport ikan tidak akan dipertimbangkan. 

((BERNAMA))