Wednesday, September 18, 2019
updated 1:31 PM UTC, Sep 18, 2019

Laporan cadangan gabung UMT dan UniSZA dijangka siap enam bulan

  • Published in Nasional

KUALA TERENGGANU - Laporan cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Putrajaya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan telah membentuk satu jawatankuasa khas bagi menggerakkan penggabungan itu dengan disertai pelbagai pihak.

Jemaah menteri pada 4 Sept lepas, secara prinsipnya bersetuju dengan penggabungan UMT dan UniSZA yang dilihat akan memantapkan keupayaan kedua-dua universiti selaras dengan 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 Pendidikan Tinggi (PT).

Menurut kenyataan itu lagi, langkah penggabungan antara dua universiti itu juga bukanlah suatu perkara baharu, kerana ia turut berlaku di negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia bagi meningkatkan tahap keberkesanan, jangkauan serta daya saing sesebuah institusi baharu.

Ia juga dilihat satu langkah yang wajar dilaksanakan bagi mempertingkat kualiti perkhidmatan serta memberi nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.