Tuesday, June 19, 2018
vital-top
updated 8:05 AM UTC, Jun 19, 2018

Malaysia Tidak Hadapi Masalah Bekalan Beras

  • Published in Nasional
Foto Hiasan

PUTRAJAYA -  Malaysia tidak mempunyai masalah bekalan beras negara buat masa ini, kata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras kementerian itu Shamsuddin  Ismail berkata negara mengeluarkan 73 peratus beras tempatan dan selebihnya ditampung dengan import yang dilaksanakan melalui kontrak jangka panjang.

"Walau bagaimanapun, bagi memastikan sekuriti makanan terjamin, kerajaan sedang meneliti secara holistik  berkaitan dengan pengurusan industri padi dan beras negara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini merujuk kepada laporan media 'Pernahkah beras tak cukup' semalam. 

Shamsuddin berkata dalam menyediakan hala tuju yang terbaik, kerajaan akan mendapatkan pandangan daripada Majlis Penasihat Pertanian Negara selain pandangan pihak luar yang terlibat dalam industri juga akan diambil kira. 

Shamsuddin berkata hala tuju baharu pengurusan industri padi beras negara juga akan memberi tumpuan khusus terhadap perkara berkaitan pengurusan stok penimbal, pengurusan subsidi dan insentif, urusan pengimportan beras yang sering dibangkitkan, pemutuan dan isu melibatkan kebajikan pesawah.

((BERNAMA))