Monday, November 18, 2019
updated 2:49 PM UTC, Nov 18, 2019

Lima resolusi dicapai melalui Bengkel Memperkasa Dewan Negeri Johor 2019

  • Published in Nasional

 

JOHOR - Lima resolusi dicapai melalui Bengkel Memperkasa Dewan Negeri Johor 2019 yang berlangsung selama dua hari di Iskandar Puteri, sejak semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, bengkel pemerkasaan itu menjadi fokus utama kerajaan negeri bagi menjamin kelancaran dan kelangsungan perjalanan institusi demokrasi pada masa akan datang.

Antaranya ialah meningkatkan peruntukan wakil rakyat dari RM350,000 setahun kepada RM800,000 setahun mulai tahun depan.

Ia berikutan keperluan rakyat semakin meningkat dan wakil rakyat perlu melaksanakan pelbagai aktiviti bersama rakyat dengan lebih kerap.

Beliau berucap demikian semasa menyempurnakan penutup bengkel berkenaan di Iskandar Puteri.

Resolusi lain ialah pengstrukturan Institusi Dewan Johor supaya dapat melaksanakan fungsinya dengan berkesan dan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan dengan tanggungjawab khusus untuk membantu kerajaan Johor.

Meningkatkan mutu perbahasan Sidang Dewan Negeri Johor supaya dapat menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan berkesan dan menjadikan Dewan Negeri Johor mesra rakyat serta mudah diakses turut terkandung dalam resolusi berkenaan.