Thursday, February 27, 2020

updated 3:14 AM UTC, Feb 27, 2020

Pakej Ransangan Ekonomi bakal diumum Khamis, 27 Februari ini

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 15 Feb - Pakej Rangsangan Ekonomi bakal diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis, 27 Februari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media menjelaskan, pakej tersebut bertujuan mengurangkan impak ketidak tentuan ekonomi global terhadap Malaysia, susulan wabak COVID-19.

Ketika ini, kementeriannya sedang menyediakan program rangsangan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta pelbagai agensi.

Kerajaan turut mengadakan sesi rundingan dengan beberapa peserta industri termasuk sektor pelancongan, logistik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Jelas Lim, pakej rangsangan ekonomi tersebut bukan sebuah belanjawan baharu atau sebahagian daripada dasar Belanjawan 2020.

Sebaliknya, bantuan akan disalurkan kepada sektor-sektor yang terkesan bagi menyokong ekonomi negara dengan perhatian utama diberikan kepada aliran tunai.

Pada masa sama, sektor terbabit juga harus meneroka peluang pendapatan alternatif, seperti memberi tumpuan kepada pelancongan domestik dan meneroka pasaran lain.

Peserta industri turut diseru agar tidak berputus asa dan bertahan meskipun pasaran menghadapi cabaran sukar, agar manfaat daripada pemulihan semula ekonomi dapat dinikmati selepas ancaman COVID-19 berakhir.