Thursday, February 27, 2020

updated 5:55 AM UTC, Feb 27, 2020

Projek pembinaan kondominium 37 tingkat runtuh, dihentikan serta merta - Zuraida

  • Published in Nasional



KUALA LUMPUR, 15 Feb - Insiden kondominium runtuh di Taman Desa, Seputeh, projek pembinaan kondominium 37 tingkat itu dihentikan serta merta.

Menteri Perumahan dan Kerjaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata punca kejadian tersebut akan diketahui sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan.

Pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan melakukan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Beliau juga akan merujuk kejadian itu kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perumahan Negara di bawah Kementeriannya.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam operasi mencari dan menyelamat di Taman Desa, Seputeh.

Dalam kejadian pukul 3.50 petang dua warga Bangladesh masing-masing berusia 37 tahun dan 23 tahun, terperangkap dalam runtuhan.

Pasukan Bomba mengalami sedikit kesukaran operasi mencari dan menyelamat berikutan keadaan bangunan yang tidak stabil, sebelum berjaya mengeluarkan mangsa.

Kedua-duanya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan kemudian memaklumkan operasi tersebut ditamatkan pukul 10.26 malam selepas pihaknya mengesahkan tiada lagi mangsa yang terperangkap.