Thursday, February 27, 2020

updated 4:53 AM UTC, Feb 27, 2020

COVID-19; Syarikat pengeluar topeng muka tempatan beri kerjasama tingkatkan pengeluaran

  • Published in Nasional

SUNGAI PETANI, 14 Feb - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan sedang berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran topeng muka dengan membantu keupayaan syarikat berkenaan agar bekalan bahan tersebut mencukupi dalam tempoh akan datang.

Beberapa syarikat pengeluar topeng muka telah memberi kerjasama untuk membantu kerajaan bagi memenuhi pasaran tempatan.

Menurut beliau, KPDNHEP akan menuntut keupayaan maksimum daripada syarikat pengeluar berkenaan.

Kementeriannya turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia berikutan terdapat syarikat pengeluar yang memohon untuk menambah waktu bekerja shif bagi meningkatkan pengeluaran selain permohonan penambahan tenaga kerja terutamanya warga asing kepada Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke syarikat Ideal Health Sdn. Bhd. di Sungai Petani yang merupakan antara 5 syarikat di negara ini yang mengeluarkan topeng berkenaan.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Eksekutif Ideal Health, Datuk Dr Haminnuddin Abd Hamid.

Syarikat tersebut mempunyai kapasiti penghasilan sehingga 35 ribu keping topeng muka setiap sehari

Namun sejak wabak COVID-19 melanda, permintaan meningkat 4 kali ganda dan topeng muka keluaran syarikat itu menerima tempahan sehingga Mei daripada pelanggan.