Thursday, February 27, 2020

updated 5:28 AM UTC, Feb 27, 2020

Tindakan undang-undang terhadap EU atas sekatan industri biofuel berasaskan sawit diteruskan

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 14 Feb - Malaysia tidak akan berganjak daripada memfailkan tindakan undang-undang melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap sekatan Kesatuan Eropah (EU) ke atas industri biofuel berasaskan sawit.

Tegas Menteri Industri Utama, Teresa Kok, sekatan berkenaan amat tidak adil dan bertentangan dengan polisi perdagangan bebas yang dilaungkan EU.

Menafikan sekeras-kerasnya laporan Reuters semalam kononnya Malaysia tidak lagi merancang memfailkan tindakan ke atas kesatuan itu, kenyataan media Teresa menjelaskan, pihaknya masih berunding mengenainya melalui mesyuarat dua hala dan rundingan bersama EU.

Ia meliputi penjelasan kerajaan Malaysia berkaitan industri minyak sawit terutama usaha menghasilkan minyak sawit lestari selain projek pemuliharaan hijau yang dilakukan industri.

Pertemuan dengan Pesuruhjaya Tenaga EU, Kadri Simson baru-baru ini antara lain menzahirkan kebimbangan Malaysia terhadap kelulusan Peraturan Delegasi dan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui 2 oleh Parlimen Eropah.

Ia dilihat tindakan mendiskriminasi penggunaan minyak sawit dalam industri biofuel.