Thursday, February 27, 2020

updated 3:14 AM UTC, Feb 27, 2020

Liwat remaja 13 tahun, penganggur berdepan empat pertuduhan

  • Published in Nasional

KUALA TERENGGANU, 14 Feb - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas empat pertuduhan meliwat seorang pelajar lelaki tingkatan satu.

Tertuduh yang berusia 22 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Kesalahan itu dilakukan pada 23 Januari lalu antara pukul 5.15 hingga 5.20 petang, di sebuah rumah di Wakaf Tapai, Marang.

Manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan yang sama pada 1 Februari lalu, jam 3.00 hingga 3.05 petang.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C, dengan peruntukan penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun juga sebatan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak 30 ribu ringgit dan memerintahkan tertuduh lapor diri di Balai Polis Hulu Terengganu pada 1 dan 5 haribulan setiap bulan.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh tidak mendekati mangsa dan mengganggu saksi pendakwaan.