Monday, August 21, 2017
vital-top
updated 4:33 AM UTC, Aug 21, 2017

Aset Dan Keanggotaan APMM Paling Besar Di Sabah

SEMPORNA - Kekuatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengawal keselamatan perairan negeri kian dipertingkatkan apabila Sabah menerima penempatan aset paling besar dengan kekuatan anggota yang ramai berbanding negeri lain.

Ketua Pengarahnya,  Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata setakat ini Sabah menerima kira-kira 70 aset permukaan iaitu kapal dan bot yang ditempatkan di kawasan-kawasan sensitif bagi memastikan perairan negeri dikawal rapi.

Pejabat itu mula beroperasi di Dataran Kompleks Inabah Kamal pada 1 Okt tahun lepas dengan 60 kakitangan dan dilengkapkan sembilan aset.

Pejabat itu merupakan sumbangan peribadi Sakaran kepada APMM tanpa perlu membayar sewa, selain kedudukan pejabat yang strategik serta dapat memudahkan penyelarasan pelan kontingensi apabila berlaku ancaman keselamatan atau bencana alam.

Selain meningkatkan aset APMM di Sabah, kerjasama termasuk perkongsian maklumat risikan adalah penting bagi  menyusun langkah taktikal yang boleh dilaksanakan untuk mematahkan segala ancaman di perairan negara.

Penambahan aset APMM di Sabah akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan terbaru adalah penempatan kapal KM Arau iaitu kapal ronda luar pesisir sepanjang 86 meter yang akan diterima dari Jepun .

Dalam pada itu, menurutnya sebuah pangkalan kekal maritim akan dibina di Tampi-Tampi, Semporna yang turut dilengkapi dengan kawasan pendaratan helikopter dengan kos RM77 juta yang dijangka siap pada 2020.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Pejabat Pangkalan Maritim Semporna oleh mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai.

 

Sumber : BERNAMA