Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:44 PM UTC, Jun 23, 2018

Japerun Berperanan Penting Perkasa Perkhidmatan Kepada Rakyat

  • Published in Nasional
Foto - BERNAMA

25 MEI: MELAKA - Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) memainkan peranan penting dalam memperkasa dan meningkatkan kualiti sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan negeri terhadap rakyat secara lebih efektif.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata, ini kerana pegawai atau kakitangan dilantik di Japerun merupakan orang tengah yang menjadi penghubung atau penyalur maklumat serta masalah dihadapi rakyat kepada pemimpin bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau, bagaimanapun berkata peranan Japerun kini dilihat tidak efektif kerana terdapat banyak masalah dihadapi rakyat tidak diselesaikan dan tertangguh dalam tempoh masa agak lama sehinggakan rakyat terpaksa mencari medium lain untuk menyalurkan masalah atau aduan mereka.

"Kita mendapat pelbagai aduan dan masalah daripada rakyat melibatkan pelbagai aspek dan saya rasa jika Japerun berperanan dengan sebaiknya, rakyat tidak akan datang ke sini (Hari Bertemu Rakyat) dan oleh itu kita masih belum membuat keputusan untuk membuka Japerun seperti sebelum ini."

"Bagi saya kehadiran orang ramai pada hari ini menunjukkan terdapat satu keperluan bahawa rakyat perlu bertemu dengan kita secara terus untuk menyampaikan isu berbangkit yang didapati masih tiada penyelesaian dan kita akan teruskan Hari Bertemu Rakyat ini setiap minggu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Hari Bertemu Rakyat di Dewan Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Pada program Hari Bertemu Rakyat yang pertama kali diadakan itu, Adly bersama ketua jabatan dan agensi serta pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri hadir bagi mendengar dan menerima laporan masalah yang dihadapi rakyat serta cuba mencari jalan penyelesaian terbaik.

((BERNAMA))