Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:44 PM UTC, Jun 23, 2018

Pasukan Siasatan 1MDB Temui Pegawai FBI, DoJ

  • Published in Nasional
Foto - HIASAN

24 MEI: PUTRAJAYA - Pasukan Petugas Khas Siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengadakan pertemuan dengan pegawai daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat di sini hari ini.

Topik perbincangan dalam pertemuan itu ialah tentang hala tuju dan fokus siasatan 1MDB, permohonan bantuan bersama bagi perkara jenayah 'Mutual Legal Assistance' (MLA) dan juga proses membawa semula aset-aset yang dibekukan di Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan dikeluarkan pasukan petugas khas berkenaan hari ini, pihak terlibat dalam pertemuan itu bersetuju memberi kerjasama sepenuhnya bagi menyempurnakan siasatan yang dijalankan berhubung 1MDB.

"Perjumpaan bagi memberi bantuan akan dijalankan dari semasa ke semasa,"menurut kenyataan pasukan petugas khas itu.

Pasukan Petugas Khas Siasatan 1MDB dianggotai bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Menurut kenyataan itu, antara isu dibangkitkan dalam pertemuan hari ini ialah permohonan pihak FBI yang menghantar surat permohonan bertarikh 13 Nov 2016 kepada Tan Sri Dzulkilfi Ahmad, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, tetapi permohonan tidak mendapat maklum balas sehingga ke hari ini.

((BERNAMA))