Wednesday, September 18, 2019
updated 3:02 PM UTC, Sep 18, 2019

Lawatan Negaa YDP Agong ke Indonesia bermula esok

  • Published in Nasional

JAKARTA - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berangkat ke Indonesia esok sempena Lawatan Negara selama 4 hari.

Lawatan itu bakal mengukuhkan lagi persaudaraan antara kedua-dua negara.

Jelas Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar ini merupakan lawatan negara pertama baginda ke republik itu setelah ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Ia sekaligus mengimbau kembali lawatan negara ayahanda baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ke republik itu ketika baginda menjadi Yang Dipertuan Agong pada tahun 1981.

 

Al-Sultan Abdullah, dijangka tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma pada pukul 9.30 pagi waktu tempatan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Rombongan Lawatan Negara ini turut disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pasangan diraja ini juga bakal menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Bogor Jakarta.

Begitu juga Majlis Santapan Petang bersama Rakyat Malaysia di Indonesia dan berangkat melawat Masjid Istiqlal di Jakarta.

Yang dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan berangkat ke Jogjakarta dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Jogjakarta merangkap Gabenor Daerah Istimewa Jogjakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono ke-10 serta melawat beberapa tempat bersejarah.

Lawatan negara ini melambangkan keakraban dan keteguhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Indonesia dan akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi jalinan persahabatan di antara kedua-dua negara yang telah terbina sejak 62 tahun yang lalu.