Tuesday, September 17, 2019
updated 12:17 PM UTC, Sep 17, 2019

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

  • Published in Nasional

SIMPANG RENGGAM - Sungai Ulu Benut di Simpang Renggam yang tercemar akibat kesan sisa daripada tapak pelupusan sampah berhampiran, pada Mac lepas telah pun mula menunjukkan perubahan positif semenjak pihak berkuasa bertindak menutup tapak pelupusan berkenaan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata kesan pencemaran di sungai itu tidak lagi kelihatan ketika ini dan kualiti air sungai juga telah kembali pulih dan selamat untuk digunakan penduduk setempat.

“Keupayaan pihak berkuasa untuk mengatasi pencemaran itu turut telah membantu menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan Simpang Renggam dan sekitarnya yang sering terjejas sebelum ini,” kata beliau dalam kenyataan.

Maszlee yang juga Menteri Pendidikan berkata sebagai pelan masa depan, pihaknya (Pejabat Ahli Parlimen Simpang Renggam) bersama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri Johor akan merangka perancangan yang menyeluruh untuk sungai tersebut iaitu dengan memasukkannya dalam kalendar Tahun Melawat Johor 2020.