Sunday, May 20, 2018
vital-top
updated 3:56 PM UTC, May 20, 2018

Pengikut Instagram Syed Saddiq Meningkat Lima Kali Ganda

  • Published in Nasional
Foto - Instagram syedsaddiq

KUALA LUMPUR - Wakil rakyat bagi kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terkejut melihat jumlah pengikutnya di media sosial terutamanya  Instagram  meningkat  dengan mendadak semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

"Bilangan 'followers' meningkat lebih 700,000 berbanding 150,000 sebelum ini…agak luar biasa sebenarnya," kata Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  itu  kepada Bernama selepas menjadi tetamu  program Nine 11, terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini. 

Syed Saddiq, 25, yang merupakan juara debat antarabangsa menarik minat  netizen apabila dinamakan  sebagai calon Pakatan Harapan di bawah bendera PKR pada PRU baru-baru  ini.

Kemenangannya di kerusi Parlimen Muar dengan majoriti 6,953 undi mengalahkan penyandang  Datuk  Seri Razali Ibrahim (BN-UMNO) yang memenangi kerusi itu sejak PRU 2004  dan  calon PAS Abdul Aziz Talib   adalah  satu pencapaian yang hebat.

Lulusan Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah menolak tawaran biasiswa untuk  melanjutkan pelajaran ke Oxford University, England kerana politik, Syed Saddiq berkata beliau mahu memainkan peranan penting di Dewan Rakyat bagi membangkitkan isu-isu berkaitan pendidikan dan masa depan belia di negara ini.

((BERNAMA))