Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 1:31 PM UTC, May 24, 2018

Serbuan Di Rumah Datuk Seri Najib: Tun M Mahu 'Setiap Orang Dilayan Dengan Baik'

  • Published in Nasional
Foto - Bernama

PETALING JAYA - Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mahu  'setiap orang dilayan dengan baik’ berikutan persoalan yang timbul berhubung serbuan lewat malam di kediaman rasmi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Polis ada prosedur operasi standard mereka sendiri, saya tidak tahu mereka perlu melakukan serbuan di malam hari. Tetapi arahan saya sangat jelas, Saya tidak mahu menyeksa sesiapa atau perkara seperti itu. Saya mahu setiap orang dilayan dengan baik," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini , Tun Dr Mahathir ditanya tentang alasan  polis melakukan serbuan di rumah Datuk Seri Najib pada malam hari.

Pengarah  Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan pihaknya menggeledah kediaman bekas Perdana Menteri itu di Taman Duta di sini malam tadi.

 

Mengenai serbuan itu juga, Perdana Menteri menjelaskan polis mungkin mempunyai alasan untuk melakukan tindakan itu tetapi beliau tidak dimaklumkan alasan tersebut.

Ditanya sama ada isteri Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut disiasat susulan laporan bahawa polis merampas banyak beg tangan dalam serbuan itu, Tun Dr Mahathir berkata pihak berkuasa melakukan siasatan  tanpa mengira sesiapa.

((BERNAMA))