Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 1:31 PM UTC, May 24, 2018

17,000 Pegawai Kontrak Lantikan Politik Ditamatkan Perkhidmatan

  • Published in Nasional
Foto - IHSAN

17 MEI: PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengambil langkah untuk mengurangkan pembaziran wang termasuk menamatkan perkhidmatan kira-kira 17,000 penjawat awam berstatus kontrak kerana merupakan pelantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri berkata, pihaknya bagaimanapun sedia membantu penjawat awam terbabit bergaji rendah seperti pemandu.

"Ini akan menyusahkan mereka kalau diberhentikan secara tiba-tiba apabila tiada bayaran gaji dan sebagainya. Kita akan memberi jawatan-jawatan lain yang sesuai dengan kelayakan mereka."

"Ini sedang dilakukan memandang ia akan mengambil masa dan memerlukan penyelesaian keputusan oleh saya sendiri," katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengkaji perbelanjaan kerajaan yang lain untuk mengurangkan bebanan kewangan negara.

Ditanya berhubung penjawat awam yang akan diberhentikan, Perdana Menteri berkata pegawai kanan kerajaan yang telah melakukan kesalahan akan diberi cuti atau digantung perkhidmatam mereka.

"Ia semuanya bergantung kepada tindakan-tindakan tertentu yang akan dilaksanakan untuk mengetepikan mereka daripada kerajaan," katanya.­­­­­­

((BERNAMA))