Logo

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi Kemuka Syor Pertama Dalam Masa Dua Bulan

KUALA LUMPUR –  Jawatankuasa Pembaharuan Institusi akan mengemukakan set pertama syornya kepada kerajaan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Anggota jawatankuasa itu,  Datuk KC Vohrah berkata jawatankuasa itu akan memberi fokus terhadap usaha memperkasakan  kedaulatan undang-undang, mengenal pasti kelemahan dan memastikan wujudnya semak dan imbang.

Beliau berkata pada sidang akhbar di sini.

Menurut beliau, jawatankuasa itu akan memberi perhatian terhadap beberapa institusi, dengan tumpuan segera diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penubuhan jawatankuasa lima anggota itu diumumkan Majlis Penasihat Kerajaan semalam.

Selain Datuk KC Vohrah, yang merupakan hakim bersara Mahkamah Rayuan, jawatankuasa itu turut dianggotai hakim bersara Mahkamah  Rayuan dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk Mah Weng Kwai;  Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji; penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman dan Profesor Undang-Undang Universiti Malaya Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi; dan Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk S. Ambiga.    

Datuk KC Vohrah berkata jawatankuasa itu akan memberi fokus  terhadap langkah memastikan wujudnya tadbir urus baik, pengasingan kuasa dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

((BERNAMA))

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.