Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 1:31 PM UTC, May 24, 2018

Pengamal Perubatan Islam Beritahu Dapat Petunjuk Zulfarhan Osman Curi Komputer Riba

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Seorang pengamal perubatan Islam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia mendapat petunjuk mengatakan Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dipercayai didera rakan seuniversitinya, tahun lalu, telah mencuri sebuah komputer riba.

Abdullah Md Seh, 56, bapa kepada seorang daripada tertuduh dalam kes pembunuhan itu, berkata petunjuk tersebut diperolehinya selepas mengadakan solat hajat dan solat sunat istikharah bagi membantu pelajar UPNM mencari individu yang mencuri komputer riba yang dikatakan hilang di universiti tersebut.

“Petunjuk datang dari gerak hati, nampak nama. Saya ada guna ‘barang’ jugak. Nama (Zulfarhan Osman) nampak, timbul pada pandangan saya,” kata bapa kepada Muhamad Ashraf, tertuduh ke-18 yang didakwa dengan sengaja mencederakan Zulfarhan Osman.

Abdullah merupakan saksi pendakwaan ke-13 berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada prosiding perbicaraan hari ketujuh kes itu, hari ini.

Ketika saksi menceritakan perkara itu, keluarga mangsa, keluarga tertuduh dan orang awam yang berada di galeri awam di dalam bilik bicara kelihatan berbisik-bisik dan kedengaran keluarga mangsa ketawa sinis dengan mengatakan “wow”, “wow”, “hebatnya bomoh”.

 

Menceritakan lanjut, bekas pesara tentera itu berkata dia telah dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya pelajar UPNM dan rakan kepada Muhamad Ashraf memberitahu ingin meminta pandangannya mengenai kes kecurian komputer riba di UPNM.

Memberitahu dia tidak mengingati bilakah panggilan itu diterima, Abdullah berkata pemanggil tersebut membacakan senarai nama beberapa individu yang disyaki mencuri komputer riba dan dia telah mencatitnya pada sehelai kertas sebelum melakukan solat hajat dan solat sunat istikharah.

“Saya tulis nama-nama itu dalam kertas. Kertas tu dah tak ada dah, sebab benda ni dah lama, saya tak simpan. Jadi salah seorang daripada (senarai nama) tu ada petunjuk mengatakan dia mencuri, tetapi tidak ada bukti,” katanya yang juga kemudiannya memberitahu Muhamad Ashraf bahawa Zulfarhan Osman adalah orang yang disyaki mencuri komputer riba itu.

Kepada soalan Othman mengapa Abdullah memberitahu nama orang yang disyaki mencuri itu kepada anaknya dan bukan kepada lelaki yang menghubunginya, saksi tersebut berkata ia kerana dia tidak mempunyai nombor telefon pemanggil dan dia telah diberitahu bahawa pemanggil adalah rakan kepada anaknya.

Abdullah berkata dia bagaimanapun telah beberapa kali berpesan kepada anaknya dan rakan-rakan supaya menyelesaikan perkara itu dengan baik, tidak bertindak di luar batasan dan mengadakan solat hajat, kerana tiada bukti dalam kes berkenaan.

Sementara itu, saksi pendakwaan Ke-14, Sarjan Mohd Tarmizi Saad, 39, yang bertugas di Pusat Perubatan UPNM memberitahu bahawa dia telah menemui sekeping nota yang diselit di pagar depan pusat perubatan itu pada 23 Mei 2017, kira-kira sembilan hari sebelum Zulfarhan Osman meninggal dunia pada 1 Jun 2017.

Mohd Tarmizi memberitahu, dia kemudian membuka nota itu yang ditemui dalam keadaan berlipat dan di dalamnya tertera ayat : ‘Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ‘ambush’ bilik 4-10, Blok Satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!!’ - Hamba Allah.

Saksi itu berkata dia kemudian mengambil nota bertulis tangan itu dan menyerahkan kepada Kapten Haryani Hassan, jurulatih bertugas pada hari berkenaan untuk tindakan lanjut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 4 Jun.

((BERNAMA))