Tuesday, May 22, 2018
vital-top
updated 3:27 PM UTC, May 22, 2018

Bayi Lelaki Ditinggal Di Masjid

  • Published in Nasional
Foto Hiasan

MELAKA - Seorang bayi lelaki dipercayai berusia antara satu hingga tiga hari dijumpai di laluan pintu Masjid Ar-Rahman di Parit Gantung Sungai Rambai, Jasin dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Arshad Abu dalam kenyataannya hari ini berkata bayi yang dibalut kain dan diletakkan di dalam sebuah kotak bersama botol serta bungkusan susu itu ditemui seorang jemaah wanita kira-kira 5.45 pagi tadi.

"Laporan polis kemudiannya dibuat di Balai Polis Sungai Rambai oleh bilal masjid itu Salehan Omar dan isterinya, Rosnah Budin selepas membawa pulang bayi berkenaan ke rumah mereka untuk dibersihkan.  

"Siasatan awal mendapati tali pusat bayi lelaki itu telah dipotong dan pengadu juga telah membawanya ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai untuk mendapatkan rawatan lanjut kira-kira 7.30 pagi," katanya.  

Beliau berkata bayi lelaki itu akan dirujuk ke Hospital Melaka untuk siasatan dan prosedur seterusnya serta pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup dipasang di kawasan ruang legar masjid itu selain di dalam premis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu diminta tampil membantu siasatan," katanya. 

((BERNAMA))