Tuesday, September 17, 2019
updated 3:16 PM UTC, Sep 17, 2019

Bicara 1MDB ditangguh Isnin depan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes 1MDB.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan perbicaraan kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya bermula hari ini ditangguh ke isnin depan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan perbicaraan SRC International melibatkan Datuk Seri Najib masih belum selesai.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan memaklumkan pada mahkamah bahawa perbicaraan kes SRC International masih berlangsung dan saksi pendakwaan terakhir memberi keterengan hari ini.

Datuk Seri Gopal yang juga mengetuai pasukan pendakwaan kes 1MDB memaklumkan terdapat 12 pernyataan saksi, baru saja diserahkan kepada pasukan pembelaan jumaat lalu.

Pihak pembelaan yang diketuai Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti pernyataan saksi tersebut.

Ini kerana mengikut Kanun Prosedur Jenayah, kenyataan saksi hendaklah disampaikan kepada pihak pembelaan selewat-lewatnya 14 hari sebelum perbicaraan, kecuali jika dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Pendakwaan juga memaklumkan pihaknya baharu menyerahkan 15 ikatan dokumen tambahan kepada pihak pembelaan pagi ini.

Jumaat lalu, pihak pembelaan turut mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk memberikan bukti baharu bagi menggugurkan Datuk Sri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes 1MDB.

Hakim Collin kemudiannya menetapkan Khamis ini untuk pengurusan kes.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes 1MDB bermula 19 ogos sehingga 29 Ogos dan akan bersambung sepanjang bulan September dan Oktober sehingga 14 November.

Pada 20 September 2018, Datuk Seri Najib didakwa dengan empat pertuduhan menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion ringgit.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Bhd, Jalan Raja Chulan, antara 2011 dan 2014. Manakala bagi perbicaraan SRC yang masih berjalan, Datuk Seri Najib menghadapi tujuh dakwaan yang mana tiga daripadanya bagi jenayah pecah amanah, satu penyalahgunaan kuasa dan tiga penggubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta 

((RTM/FARHANA AZWANEE))