Logo

Kilang plastik musnah dalam kebakaran, Sarawak

 

KUCHING - Sebuah kilang pembuatan produk plastik, di Jalan Bako, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima laporan pada pukul 9.40 malam, dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota BBP Padungan, BBP Petra Jaya dan Kota Samarahan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Penguasa Kanan Bomba Satu Tiong Ling Hii memberitahu, seramai 50 anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran yang memusnahkan 2 buah stor, sebuah forklift, sebuah mesin dalam kilang serta 10 peratus bahagian utama kilang Weida Integrated Industries Sendirian Berhad.

Tambah beliau, sebanyak TIGA buah jentera FRT, DUA buah kenderaan EMRS dan TIGA buah 'Water Tanker Prime Mover' telah dikerah ke lokasi kejadian berikutan kekurangan sumber air untuk memadamkan api.

Penguasa Kanan Bomba Satu Tiong memberitahu pihaknya berusaha mengawal kebakaran yang telah merebak ke dalam kilang sekitar 1.46 pagi dan telah memusnahkan 10 peratus bahagian utama kilang.

Siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari luar premis kilang tersebut sebelum merebak ke bahagian stor menyimpan longgokan paip-paip polimer.

Sebanyak 80 peratus stok paip polimer syarikat tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku hampir LIMA jam.

Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada 2.42 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 4.19 pagi tadi.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.