Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

Mayat lelaki terapung ditemukan di Tanjung Kubong

  • Published in Nasional

LABUAN - Mayat lelaki ditemui terapung di perairan Bentayan Jahat Shoul 20 Batu Nautika Utara Tanjung Kubong Labuan, semalam.

Ketua Polis Labuan, Supritenden Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 11.20 pagi daripada 3 anggota Polis Marin Labuan yang menjumpai mayat tersebut ketika menjalankan Op Gelora.

Mayat tersebut belum dikenalpasti identiti kerana tidak menemui sebarang pengenalan diri, hanya memakai baju-T tertera huruf DHJ dan seluar dalam berbelang merah.

Keadaan mayat masih lengkap, namun bahagian kaki dan tangan hanya tinggal tulang dan mayat mula mereput.

Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Mayat dibawa ke Hospital Labuan untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan identiti mangsa atau kehilangan keluarga, segera menghubungi Balai Polis berhampiran.