Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

'Pulau Bunker' bakal muncul sebagai terminal minyak bersepadu terbesar dunia

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA - Malaysia bakal muncul salah sebuah negara yang memiliki lokasi terminal minyak bersepadu bebas tersebar di dunia.

Dikenali sebagai "Pulau Bunker" atau pulau simpanan minyak, terminal bersepadu yang bakal siap dalam tempoh dua tahun itu bakal dibangunkan di dalam Zon Bebas Komersial Tanjung Pelepas, Johor oleh sebuah syarikat kemudahan terminal minyak tempatan, Smart Crest Sdn Bhd.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, memberitahu, syarikat berkenaan juga bertanggungjawab mengumpul dana pelaburan dua bilion ringgit bagi menampung pembangunan projek.

Projek dijangka siap dalam tiga fasa dan fasa pertama akan beroperasi dalam tempoh dua tahun.

Beliau bercakap selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Projek Pulau Bunker antara Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Smart Crest Sdn Bhd di Putrajaya.

LPJ diwakili Pengurus Besarnya, Razif Ahmad manakala Smart Crest diwakili Pengarah Urusannya, Cher Lee Kiat.

Kemudahan Pulau Bunker selaras dengan pelan Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor untuk membangunkan Selatan Johor sebagai destinasi penyimpanan dan destinasi minyak penting.

Ia bakal dilengkapi dengan 61 tangki, lima ruang tangki dan mempunyai kapasiti penyimpanan kira-kira 1.2 juta meter padu.