Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

Malaysia negara keempat risau meniti usia tua

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Malaysia adalah negara keempat teratas daripada 29 negara yang rakyatnya bimbang menghadapi usia tua, menurut kaji selidik sebuah firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos).

Ipsos dalam satu kenyataan berhubung kajian terbarunya mengenai 'Penuaan di Malaysia' hari ini, menunjukkan bahawa Malaysia berada di kedudukan selepas Brazil, China dan Rusia yang masing-masing menduduki tempat pertama hingga ketiga.

Berdasarkan kajian itu mendapati bahawa sejumlah 62 peratus warga Malaysia risau tentang penuaan, berbanding dengan 52 peratus jumlah kebimbangan di seluruh dunia.

Sebagai perbandingan, warga India (45 peratus), Amerika Syarikat (48 peratus) dan United Kingdom (50 peratus) tidak begitu bimbang meniti usia tua.

Kajian itu turut mendedahkan 49 peratus warga Malaysia tidak optimis tentang penuaan serta bimbang meniti usia tua.

Namun, kajian itu mendapati sejumlah 76 peratus warga Malaysia merasakan bahawa persediaan boleh dibuat bagi meniti usia tua dan keyakinan ini berpunca daripada hakikat bahawa 85 peratus rakyat tempatan menjangkakan kesihatan baik pada usia tua.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa kekurangan optimisme warga Malaysia tentang penuaan diimbangi kepercayaan mereka terhadap teknologi dengan sejumlah 60 peratus warga Malaysia percaya bahawa perkembangan teknologi akan memudahkan kehidupan mereka pada usia tua.

((BERNAMA))