Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

Lapan individu ditahan terlibat membuat senjata api

  • Published in Nasional
Foto - Polis Sabah

KOTA KINABALU - Polis Sabah menahan lapan individu termasuk empat warga emas dalam serbuan yang dijalankan di daerah Ranau dipercayai terlibat dalam pembuatan serta pembelian senjata api buatan sendiri pada 6 dan 7 Ogos lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata polis membuat serbuan ke sebuah rumah dua tingkat pada 6 Ogos jam 2.30 pagi di Kampung Kinaratuan, Ranau dan menahan dua lelaki di dalam rumah berkenaan.

Beliau berkata dalam serbuan itu juga membawa kepada penemuan stor penyimpanan peralatan membuat senjata api di belakang rumah berkenaan dan sebuah pondok terletak kira-kira 150 meter dari rumah itu.

Beliau kata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan.

Datuk Zaini berkata seorang daripada suspek itu dipercayai menjalankan aktiviti membuat, menjual senjata api buatan sendiri sejak 25 tahun lalu dengan hanya meniru daripada senapang dan pistol tiruan yang dijual antara RM800 hingga RM2,800.

Katanya pada hari yang sama, polis juga membuat serbuan di Kampung Debut, Bundu Tuhan dan Kapatahan dan menahan tiga lelaki.

Sementara pada hari berikutnya, seorang lelaki ditahan di pondok pengawal kem Lok Kawi dan seorang di Kampung Lohan, Ranau.

Datuk Zaini berkata semua lelaki warga tempatan yang ditahan itu berumur lingkungan 29 hingga 83 tahun, bagaimanapun warga emas itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Semua senjata akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk menentukan keaslian (senjata) itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 iaitu penalti kerana berdagang senjata api. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang enam kali.