Sunday, April 22, 2018
vital-top
updated 1:48 PM UTC, Apr 22, 2018

ESIMS Permudah Semakan Status Lesen Syarikat Kawalan Keselamatan - KDN

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan laman web Sistem Semakan Lesen Syarikat Kawalan Keselamatan dan Tapisan Keselamatan Pengawal Keselamatan (ESIMS) yang membolehkan orang awam membuat semakan latar belakang syarikat keselamatan dan pengawal keselamatan yang digajikan secara dalam talian.

ESIMS dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalan Negeri pada Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC)Kuala Lumpur.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata laman web itu merupakan kemudahan yang disediakan KDN kepada orang awam untuk membuat semakan status lesen syarikat kawalan keselamatan berlesen dengan KDN di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

Dalam kenyataan media beliau memaklumkan portal semakan itu juga membolehkan orang awam membuat semakan tapisan keselamatan pengawal keselamatan tempatan.

Selain itu juga, orang awam boleh menyemak sekiranya pengawal keselamatan adalah terlatih dan telah menghadiri program latihan Certified Security Guards (CSG) yang dikelolakan KDN.

((BERNAMA))