Sunday, April 22, 2018
vital-top
updated 2:12 PM UTC, Apr 22, 2018

Pangsapuri Mampu Milik Selangorku Kampung Seri Temenggung Siap Pada 2021

  • Published in Nasional
Foto - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina 420 unit Pangsapuri Mampu Milik Selangorku di Kampung Seri Temenggung yang dijangka siap pada awal 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata projek kerjasama  pemaju swasta itu ditawarkan bermula RM100,000 bagi unit berkeluasan kira-kira 70 meter persegi (750 kaki persegi), RM180,000 (84 meter persegi/900 kaki persegi) dan RM220,000 (93 meter persegi/1,000 kaki persegi).

Semua unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan kemasan lantai jubin seramik. 

“PKNS yakin projek ini menepati cita rasa bakal pembeli berdasarkan konsep reka bentuk dan pemilihan lokasi yang amat strategik dengan jaringan akses kemudahan logistik melalui DUKE (Lebuhraya Duta Ulu Klang) dan MRR2 (Jalan Lingkaran Tengah 2) serta akses utama melalui Lebuh Utama Sri Gombak.

“Ia semestinya menjadi kelebihan persaingan kepada pemilik dengan kemudahan yang disediakan serta jangkaan nilai hartanah yang dijangka meningkat pada masa hadapan.”

Pangsapuri dua blok yang dibina di kawasan seluas 3.5 hektar tanah itu dilengkapi kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, bilik serbaguna, tadika, bilik bacaan, bilik mesyuarat, pejabat pengurusan bangunan, kawasan lapang, taman permainan, dan gelanggang badminton. 

 Ia merupakan projek rumah mampu milik ketujuh PKNS selepas projek di Bukit Botak, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, Antara Gapi, Kota Puteri dan Desa Alam. 

((BERNAMA))