Sunday, April 22, 2018
vital-top
updated 1:48 PM UTC, Apr 22, 2018

Kastam Sasar 300 Syarikat Berdaftar GST Guna Khidmat Akauntan Bertauliah

  • Published in Nasional

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan sebanyak 300 syarikat berdaftar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menggunakan khidmat ‘GST Independent Reviewer’ bertauliah, tahun ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata ‘GST Independent Reviewer’ ini merupakan akauntan yang ditauliahkan JKDM selepas mereka mengikuti kursus profesional dan sesi temu duga dalam bidang tersebut.

“Kesemua mereka akan mengikuti kursus di bawah Program Jaminan Pematuhan GST Malaysia (MyGCAP) pada Jumaat ini.

“Kursus akan dikendalikan Institut Akauntan Malaysia, Institut Percukaian Malaysia dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia. JKDM pula mengendalikan sesi temu duga.”

Menurutnya, MyGCAP yang diperkenalkan awal tahun ini bertujuan menggalakkan syarikat berdaftar GST, dengan secara sukarela mengurus risiko GST serta membaiki pematuhan melalui suatu rangka kerja kawalan yang berkesan dan mantap. 

Katanya, MyGCAP juga memudahkan syarikat berdaftar GST untuk membuat tuntutan bayaran balik GST dengan menggunakan khidmat ‘GST Independent Reviewer’.

Pada majlis itu, JKDM turut melancarkan e-Pembayaran iaitu kaedah pembayaran duti kastam, GST dan levi secara automatik tanpa menggunakan wang tunai atau cek, yang boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa perlu mengunjungi pejabat JKDM.

Usaha tersebut merupakan kerjasama JKDM dan RHB Islamic Bank bertujuan mengembangkan platform pembayaran elektronik.

((BERNAMA))