Monday, August 26, 2019
updated 3:00 AM UTC, Aug 26, 2019

Jho Low perkenalkan saya kepada Najib - saksi

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, atau Jho Low, memperkenalkan bekas pegawai kanan AmBank kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, di kediaman peribadi beliau pada pertengahan 2011.

Perkara itu dimaklumkan Bekas Pengarah Urusan AmBank, Cheah Tek Kuang, yang menjadi saksi ke 49 kes penyelewengan berkaitan SRC International.

Pertemuan itu berlaku ketika Datuk Seri Najib mahu membuka akaun di AmBank.

Menurut Cheah, dia disambut oleh Jho Low dipintu masuk sebelum membawanya bertemu Datuk Seri Najib.

Jho Low kemudian memperkenalkannya dengan tertuduh, sebelum Cheah memulakan taklimat berkaitan peraturan membuka akaun bank.

Cheah berkata dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu, dia turut memberikan borang kosong dan kad kredit kepada Datuk Seri Najib.

Saksi itu juga mengesahkan dua gambar Jho Low ketika diminta membuat pengecaman terhadap ahli perniagaan itu di kandang mahkamah.

Terdahulu, Cheah menjelaskan, dia TIDAK TAHU MENAHU sama ada komunikasi Datuk Seri Najib dengan bekas CEO KWAP, Datuk Azian Md Noh hanya permintaan memastikan proses pinjaman SRC International berlangsung secepat mungkin atau arahan memberi pinjaman.

Perbicaraan bersambung esok.