Monday, August 26, 2019
updated 2:34 AM UTC, Aug 26, 2019

Undi 18: Kerajaan yakin mampu imbang keperluan dan mencorakkan masa depan

  • Published in Nasional
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin dan percaya golongan belia yang diberi hak mengundi seawal umur 18 tahun mampu mengimbangi keperluan menuntut ilmu dan kemahiran dengan kesedaran politik serta tanggungjawab mencorakkan masa hadapan negara yang lebih cerah.

Menurut Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, ia sekali gus mampu melahirkan warga lebih bertanggungjawab.
 
Jelasnya kesedaran politik dalam kalangan belia telah meningkat manakala pemikiran serta kematangan mereka juga terlihat lebih kehadapan, selaras kemajuan dinikmati negara.

Belia negara juga terdedah kepada maklumat lebih luas, pengaruh media massa dan kemajuan teknologi maklumat menjadikan mereka golongan pintar, matang berfikir, berdikari dan lebih bermaklumat.

Pindaan RUU itu juga membolehkan pendaftaran pemilih secara automatik, menjadikan semua warganegara apabila berumur 18 tahun, layak mengundi dan tidak perlu mendaftar sebagai pemilih seperti dicadangkan pihak pembangkang.

Untuk rekod sejak Pilihan Raya Umum pertama pada tahun 1959, sehingga tahun lalu, negara telah melalui 14 Pilihan Raya.

Sejak itu atau hampir 60 tahun Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, kelayakan had umur mengundi 21 tahun, tidak pernah dikaji untuk diturunkan.