Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

Lelaki maut semasa tunggu penerbangan di balai pelepasan Lapangan Terbang Miri

  • Published in Nasional

MIRI - Seorang tukang masak meninggal dunia di balai pelepasan Lapangan Terbang Miri di sini semasa sedang menunggu penerbangannya ke Singapura, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah dalam kenyataan berkata Niek Pick Huat, 38, dari Desa Murni, Bandar Baru Permyjaya, pada mulanya dijumpai oleh seorang pegawai imigresen dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri di atas kerusi urut itu pada pukul 12 tengah hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia pukul 1.05 petang ini.

Dalam satu kenyataan itu juga turut menyatakan sebelum disahkan maut, pihak pasukan perubatan dari Lapangan Terbang Miri serta ambulan dari Hospital Miri telah memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada lelaki itu.

Menurutnya berdasarkan kenyataan saksi sebelum kejadian, lelaki yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura itu dilihat duduk di kerusi urut di Tingkat Satu di balai pelepasan itu selama kira-kira sejam.

Lelaki itu mempunyai penyakit darah tinggi berdasarkan maklumat yang diberi oleh abangnya.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.