Monday, July 22, 2019
updated 10:55 AM UTC, Jul 22, 2019

Dua dalang utama penipuan pakej umrah ditahan

  • Published in Nasional

TEMERLOH - Dua wanita yang dipercayai dalang utama kes penipuan pakej umrah berjumlah RM41,800 membabitkan 19 peserta dari Temerloh ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial JSJK Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 33 tahun itu ditahan di Shah Alam, Selangor hari ini bersama pembantu peribadinya berusia 22 tahun yang juga pemilik akaun dalam kes berkenaan.

Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang peniaga di Temerloh yang mendakwa ditipu berhubung pakej umrah ditawarkan sebuah agensi pelancongan.

Berdasarkan laporan yang diterima, pada 21 November tahun lalu, mangsa ditawar menunaikan umrah dengan syarikat terbabit yang dikendalikan seorang wanita.

Suspek memaklumkan yang sebahagian perbelanjaan umrah akan ditanggung oleh penaja yang berpangkat Datuk berjumlah RM5,000 dan peserta jemaah hanya perlu membayar RM2,200 seorang.

Peserta umrah dijangka berlepas 1 Disember tahun lalu, namun pada pertengahan Disember, umrah tersebut ditunda.

Pada 19 Disember, ejen agensi pelancongan terbabit menawarkan pemulangan wang dalam tempoh tiga minggu kepada sesiapa yang ingin menarik diri.

Namun sehingga kini mangsa masih belum menerima sebarang pembayaran.

Kedua-dua suspek dikenakan tahanan reman selama dua hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh dikenakan Hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat jika bersalah.