Tuesday, September 17, 2019
updated 12:17 PM UTC, Sep 17, 2019

Polis Kemaman mengesan seorang wanita dan pasangannya gunakan wang kertas palsu semasa buat pembelian

  • Published in Nasional

 

KEMAMAN - Polis Kemaman giat mengesan seorang wanita bersama pasangannya yang dipercayai menggunakan wang kertas palsu membuat pembelian di beberapa buah premis di daerah itu.

Wanita berusia 20-an bersama pasangannya, 50-an dipercayai menggunakan wang kertas palsu bernilai RM100 untuk membeli pelbagai barangan di beberapa buah kedai runcit di kawasan Kijal dan Kemasek, Ahad lalu.

Wanita berkenaan dan pasangannya, antaranya membuat belian di sebuah kedai keropok lekor di Kampung Meraga Beris, Kijal, dan di sebuah gerai ayam goreng di Kampung Kemasek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu.

Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek terbabit menyasarkan kedai di kawasan kampung dan kereta yang digunakan suspek juga menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dari dikesan.

Kes disiasat di bawah seksyen 489 kanun keseksaan kerana menggunakan wang palsu.