Saturday, June 23, 2018
vital-top
updated 11:34 AM UTC, Jun 23, 2018

MQA minta IPT mohon kelulusan laksana Apel C

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR- Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) meminta semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta supaya memohon melaksanakan Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) (C) di institusi masing-masing.

APEL(C) ialah kaedah penilaian ilmu yg diperoleh daripada pengalaman kerja, pengalaman hidup atau himpunan kursus pendek bagi tujuan mendapatkan pindahan kredit untuk mata pelajaran dalam program akademik di IPT.

MQA dalam satu kenyataan berkata hanya IPT yang telah mendapat kelulusan MQA untuk melaksanakan APEL(C) sahaja yang boleh memberikan pindah kredit kepada pelajar masing-masing.

Katanya pada masa ini hanya 5 PPT yang telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan APEL(C) iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Universiti Terbuka Wawasan (WOU), INTI International University dan Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL).

APEL(C) memberi kelebihan kepada pelajar yang mempunyai pengalaman atau mengambil kursus-kursus pendek untuk mendapatkan pengecualian daripada mengambil mata pelajaran yang berkaitan dengan pengalamannya, seterusnya akan mengurangkan jumlah kredit yang pelajar perlu diambil, katanya.

APEL yang dilancarkan sebelum ini untuk kemasukan ke IPT dikenali sebagai APEL (A)(Access) manakala APEL (C) (Credit) bagi mendapatkan pindahan kredit.

APEL (A) memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja, tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran ke program ijazah sarjana muda di IPT.

Menurut agensi berkenaan, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh MQA pada tahun lepas, didapati 98 peratus pelajar yang memasuki PPT dengan menggunakan laluan APEL(A) telah dapat mengikuti pengajian dengan baik.

((BERNAMA))