Saturday, June 23, 2018
vital-top
updated 11:34 AM UTC, Jun 23, 2018

Malaysia Alu-Alukan Sidang Kemuncak Korea Utara, Korea Selatan Dan AS

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia menyambut baik persetujuan antara Korea Selatan dan Korea Utara untuk mengadakan Sidang Kemuncak  Antara Korea kali ketiga yang dijadualkan  berlangsung   penghujung April ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Malaysia berpendirian bahawa perselisihan antara dua negara Korea itu perlu diselesaikan secara aman melalui rundingan dan dialog.

Ketua Pejabat Keselamatan Nasional Korea Selatan Chung Eui-yong mengumumkan Korea Utara dan Korea Selatan bersetuju mengadakan sidang kemuncak itu di Peace House, yang terletak di perkampungan bebas tentera Panmunjom, pada penghujung April ini, selepas delegasi beliau mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Pyongyang pada 6 Mac.

Kerajaan Malaysia juga mengalu-alukan persetujuan yang dicapai bagi mengadakan Sidang Kemuncak Korea Utara-Amerika Syarikat (AS) menjelang Mei tahun ini.

Ia berkata Malaysia percaya perkembangan itu merupakan langkah penting ke arah mengendurkan ketegangan  antara Korea Utara dan AS dan  ke arah membebaskan Semenajnjung Korea daripada senjata nuklear.

"Kerajaan Malaysia sentiasa komited dengan peranannya bersama-sama rakan lain dan negara  berpendirian serupa bagi mencapai objektif bersama berhubung pembebasan  daripada penggunaan senjata nuklear serta usaha mewujudkan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea,” kata Wisma Putra.

((BERNAMA))