Saturday, June 23, 2018
vital-top
updated 11:34 AM UTC, Jun 23, 2018

Tawar Gelaran Datuk Palsu:Polis Selangor Buka Kertas Siasatan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Polis Selangor telah membuka kertas siasatan berkaitan kes individu menyamar sebagai pegawai Istana Selangor dan menawarkan gelaran Datuk yang kononnya daripada pihak istana.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor dalam satu kenyataan berkata kes tersebut disiasat di bawah seksyen 419 kanun keseksaan iaitu tipu dengan jalan penyamaran.

Menurut Datuk Mazlan jika sabit kesalahan di mahkamah suspek boleh dihukum penjara 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Suspek katanya dikesan meyamar sebagai Setiausaha Dewan Diraja Selangor dan menawarkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran termasuk gelaran 'Dato' yang kononnya daripada pihak istana.

Dalam kenyataan itu juga beliau meminta orang ramai supaya mendapatkan pengesahan pihak berkuasa terlebih dahulu bagi mengelak daripada terpedaya dengan cubaan penipuan  tersebut.

Semalam,  Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais dalam kenyataan menafikan mengeluarkan sebarang surat tawaran penganugerahan darjah dan bintang kebesaran termasuk gelaran 'Dato' kepada individu yang bernama Goh Boon Leong.

Malah, Dewan di-Raja Selangor telah  membuat laporan polis tentang perkara tersebut .

((RTM / TV))