Saturday, June 23, 2018
vital-top
updated 11:34 AM UTC, Jun 23, 2018

Kapsul Misi Wanita TN50 Akan Ditanam Di Kutub Selatan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Lima peserta yang terpilih dalam cabaran  ‘All Women Expedition to Antartica’ (Aweta) 2018 akan menanam kapsul Transformasi Nasional 2050 (TN50) menggantikan kapsul lama yang telah ditanam pada 2004 di Kutub Selatan.

Ekspeditor negara Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, 53, berkata kapsul yang mengandungi misi wanita Malaysia akan ditanam di kawasan itu pada Disember tahun ini dan hanya akan dibawa pulang pada 2050 nanti.

Beliau berkatanya kepada Bernama, selepas menjadi tetamu program Nine 11 terbitan Bernama News Channel, baru-baru ini.

Kapsul pertama ditanam oleh Dr Sharifah Mazlina semasa misi sulungnya ke Antartika pada 2004, dan beliau dijangka memulakan ekspedisi Aweta 2018 bersama-sama peserta terpilih pada November ini.

 

Beliau yang juga mentor Aweta berkata pemilihan peserta dari seluruh negara dimulakan sejak Ogos tahun lalu, dan mereka perlu melepasi setiap ujian yang dijalankan sebagai persiapan menghadapi situasi di Antartika yang memerlukan kekuatan fizikal, mental, rohani, emosi dan sosial.

Antara ujian yang perlu dilalui termasuk merendam tangan dan kaki dalam ais selama 25 minit supaya mampu menahan paras sejuk beku di Antartika yang boleh mencecah sehingga -68 darjah Celsius.

Dr Sharifah Mazlina berkata kapsul lama itu mengandungi mesej bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan berharap ia akan ditemui kerana tidak mempunyai tanda.

Dalam pada itu, Dr Sharifah Mazlina berkata kapsul TN50 itu akan direka dengan ciri-ciri ketahanan kepada keadaan cuaca di Antartika.

Katanya, pertandingan mencipta kapsul juga akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi untuk dilaksanakan di universiti tempatan dan nama pemenang akan dipahatkan dalam kapsul berkenaan.

((BERNAMA))