Saturday, June 23, 2018
vital-top
updated 11:34 AM UTC, Jun 23, 2018

Lebih 14,000 Individu Dilepaskan Daripada Status Bankrap Antara 2013 Hingga 2017

  • Published in Nasional
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Seramai 14,108 individu yang diisytiharkan bankrap telah dilepaskan daripada status itu bagi tempoh 2013 hingga 2017.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim berkata jumlah itu adalah 14.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 100,610 yang diisytiharkan bankrap bagi tempoh yang sama.

"Bilangan bankrap yang dilepaskan mengikut tahun adalah seramai 2,936 orang pada 2013, 2,852 (2014), 2,731 (2015), 2,732 (2016), 2,857 (2017)," katanya semasa menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Er ingin tahu jumlah bilangan bankrap dan berapa bilangan yang berjaya melepaskan diri daripada status bankrap di setiap negeri dari tahun 2013 hingga 2017.

Menjawab soalan tambahan Er berkenaan langkah kerajaan membantu individu yang diisytiharkan bankrap, Datuk Seri Razali berkata antara langkah yang diambil termasuk pindaan terhadap Akta Insolvensi 1967.

"Perkara-perkara yang kita buat adalah untuk memastikan bahawa tidak mudah untuk membankrapkan orang, kita hendak guna tenaga dalam negara kita ini untuk terus menyumbang, kerana jumlah bankrap yang tinggi boleh mengurangkan jumlah produktiviti," katanya.

((BERNAMA))