Saturday, June 23, 2018
vital-top
updated 11:34 AM UTC, Jun 23, 2018

Tender Pemilihan Dua Buku Teks Inggeris Ganti Yang Import, Dibuka

  • Published in Nasional
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran (KPM)  telah membuka tender bagi memilih dua buku teks bahasa Inggeris menepati panduan Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR) dan mempunyai kandungan tempatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Chong Sin Woon berkata ia bagi menggantikan dua buku teks import ‘Super Mind’ dan buku ‘Pulse 2’ yang mula digunakan tahun ini.

"Kurikulum yang diselaraskan dengan CEFR iaitu panduan yang dibangunkan Majlis Eropah bagi mengukur kemahiran bahasa asing memerlukan buku yang menepati standard tersebut, namun buku yang menepati panduan itu masih belum ada dalam pasaran tempatan.

“Bagaimanapun kita telah membuka tender dan jawatankuasa sedang memilih syarikat yang boleh membekalkan buku tersebut," katanya pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Zairil Khir Johari (DAP-Bukit Bendera) yang meminta kementerian menjelaskan mengapa buku teks bahasa Inggeris KSSR dan KSSM yang diperoleh untuk Tahun 1 bagi tahun lepas telah digantikan dengan buku teks import.

Berdasarkan pekeliling bertarikh 16 Ogos 2017 dan 12 Sept 2017, semua pelajar Tahun Satu dan Tahun Dua akan menggunakan buku 'Super Mind' manakala pelajar Tingkatan Satu dan Dua menggunakan buku 'Pulse 2' sebagai buku teks Bahasa Inggeris bermula tahun ini.

Datuk Chong menafikan dua buku teks import tersebut telah menggantikan buku teks asal sebaliknya buku teks import itu digunakan bersama-sama dengan buku teks sedia ada.

Menjawab soalan tambahan Datin Mastura Yazid (BN-Kuala Kangsar) berkenaan bilakah KPM akan melaksanakan penggunaan sepenuhnya 'e-buku teks' dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Beliau berkata KPM dalam proses membuat kajian beberapa buku teks untuk dijadikan buku digital.

((BERNAMA))