Friday, May 25, 2018
vital-top
updated 1:45 PM UTC, May 25, 2018

SPR Nafi Sistem Pilihan Raya Dimanipulasi Untuk Menangkan Parti Tertentu

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan dakwaan ada manipulasi terhadap sistem pilihan raya dan persempadanan semula kawasan pilihan raya bertujuan memenangkan parti-parti tertentu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menegaskan semua sistem pilihan raya yang dijalankannya seperti sistem pendaftaran pemilih, sistem perjalanan pilihan raya dan sistem persempadanan semula bahagian pilihan raya adalah telus dan adil.

Artikel mendakwa terdapat manipulasi sistem pilihan raya dan persempadanan semula bahagian pilihan raya yang dijalankan bertujuan membantu kemenangan parti pemerintah pada PRU14 akan datang adalah bersifat tohmahan dan tidak berasas sama sekali serta berniat untuk mengelirukan.

Apapun kritikan dan cadangan yang dikemukakan kepada SPR berkaitan sistem pilihan raya, ia tidak akan menjejaskan komitmen SPR dalam memastikan PRU14 berlangsung secara telus dan adil serta mematuhi semua proses perundangan berkaitan pilihan raya.

SPR menegaskan bahawa tiada manipulasi sistem pilihan raya atau persempadanan semula dalam PRU14. SPR tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya yang akan berlangsung nanti," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

((BERNAMA))