Monday, June 25, 2018
vital-top
updated 8:32 AM UTC, Jun 25, 2018

3 Lelaki Termasuk Seorang Tauke Balak Dijatuhkan Hukuman Penjara 14 Hari Dan Denda RM 10 Ribu Kerana Memberi Rasuah.

  • Published in Nasional

KUALA TERENGGANU - 3 lelaki termasuk seorang tauke balak dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM 10 ribu  oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, kerana memberi rasuah bernilai  RM 300 hingga 1,000 ringgit kepada agen Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Semua tertuduh turut berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh, Wong Kam Choy 54 tahun, Tan Ya Loon 36 tahun dan Mohamad Bakri Hassan 41 tahun masing-masing mengaku salah terhadap pertuduhan Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Wong seorang tauke balak didakwa memberi rasuah RM 1,000  kepada agen kerajaan Malaysia, Penolong Pegawai Hutan, Ilias Awang dalam Mukim Kijal, Kemaman, 1.30 tengah hari pada 8 Jun 2017.

Manakala Tan seorang pengurus kilang kayu pula didakwa memberi suapan RM 500  kepada Pengawas Hutan Wahab Omar di Sungai Nilai, Mukim Hulu Nerus, pukul 4.15 petang 28 Ogos 2017.

Suapan diberikan sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan undang-undang apabila masing-masing memiliki balak dan kayu bulat pelbagai spesis yang tidak mempunyai tanda pengkelasan dan tidak bercukai.

Seorang lagi tertuduh Mohamad Bakri yang bekerja sendiri turut mengaku memberi suapan 300 ringgit kepada pegawas hutan Mohd Noor Ali di Kampung Sungai Lerek, Setiu, pukul 3.45 petang 6 Julai 2017,

Suapan itu diberikan Mohamad Bakri sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap lori yang membawa muatan beberapa batang kayu bulat pelbagai spesis yang tidak memiliki pas pemindahan hasil hutan dan tidak bercukai.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

((RTM/TERENGGANU))