Monday, June 24, 2019
updated 12:39 PM UTC, Jun 24, 2019

Negeri Pahang akan berkabung selama 40 hari bermula 12 tengah hari ini

  • Published in Nasional

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dalam satu sidang media di Wisma Sri Pahang memaklumkan Negeri Pahang akan berkabung selama 40 hari bermula 12 tengah hari ini .

Beliau berkata selama tempoh berkabung, semua bendera negeri akan dikibarkan setengah tiang dan untuk tempoh tiga hari pertama iaitu bermula hari ini sehingga 12 tengah hari Sabtu, tiada acara keraian atau hiburan dibenarkan.

Beliau juga memaklumkan kerabat diraja Pahang akan berkabung selama 100 hari .

Jenazah almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dikafankan di Istana Negara di Kuala Lumpur, sebelum diterbangkan ke Pangkalan Udara Kuantan .

Jenazah kemudian dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan dan rakyat yang ingin menziarah dan memberi penghommatan terakhir boleh berbuat demikian bermula malam ini sehingga 9 pagi esok.

 

Mereka yang ingin menziarah diingatkan untuk berpakaian berkabung serba hitam yang sesuai, dengan golongan wanita dinasihatkan untuk memakai tudung atau seledang.

Istiadat rasmi pemakaman dijadualkan bermula pada 9 pagi esok, dengan jenazah almarhum dibawa ke persada di Istana Abu Bakar untuk penghormatan terakhir oleh kerabat dan orang kenamaan, bermula 11 pagi.

Jenazah almarhum seterusnya akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah yang terletak bersebelahan Makam Diraja dan solat jenazah akan diimamkan oleh Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman sebelum dimakamkan selepas Zohor esok .

Beliau juga mengesahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini berada di luar negara dijadualkan berangkat ke Istana Abu Bakar pagi esok.

Semua surau dan masjid di Pahang juga diminta untuk mengadakan tahlil selama tiga malam berturut-turut bermula hari ini.