Tuesday, June 18, 2019

updated 3:21 PM UTC, Jun 18, 2019

Jelajah Ramadan RTM wajar diteruskan pada masa akan datang

  • Published in Nasional

KOTA KINABALU - Penganjuran program berkonsepkan turun padang seperti Jelajah Ramadan RTM wajar diteruskan pada masa akan datang.

Ia memandangkan program seumpama itu mampu mendekati masyarakat di peringkat akar umbi seterusnya mengetahui permasalahan rakyat untuk disalurkan kepada pihak berkenaan bagi tindakan lanjut.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Haji Apdal, penganjuran Jelajah Ramadan RTM juga sejajar peranan media rasmi kerajaan dalam menyebar luas visi dan misi kerajaan, serta menyelami permasalahan rakyat.

Datuk Seri Mohd. Shafie menyatakan demikian dalam ucapan Pelancaran Program Jelajah Ramadan RTM Sabah 2019 di Lobi Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Kota Kinabalu.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Jaujan Sambakong.

Dalam sidang media kemudiannya, Datuk Jaujan mengalakkan lebih banyak organisasi kerajaan mahu pun bukan kerajaan memperbanyak kerjasama untuk menjayakan program seumpama agar lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.

Jelajah Ramadan RTM Kota Kinabalu menerima kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya Ranau, Akademi Binaan Malaysia, Jabatan Pertanian Ranau, SEDCO, Cement Industry Sabah, BERNAS, Yayasan Dakwah Islamiah Sabah, Pusat Zakat Sabah, dan syarikat-syarikat korporat.

Dalam majlis ini, Datuk Jaujan turut menyempurnakan pelepasan konvoi Jelajah Ramadan 2019 ke Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad, di Ranau.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM, Shakib Ahmad Shakir; Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Nor Yahati Awang, dan Pengarah Penyiaran Sabah, Malinaziah Datu Mohd. Julaspi.

((RTM SABAH/ALIZA))