Monday, July 22, 2019
updated 10:55 AM UTC, Jul 22, 2019

Yang di-Pertuan Agong berbuka puasa bersama rakyat di Padang MPK 1

  • Published in Nasional

Foto - Jabatan Penerangan Pahang

 

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini berkenan berbuka puasa bersama rakyat negeri ini di perkarangan Padang Majlis Perbandaran Kuantan, MPK1.

Turut mengiringi baginda ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketibaan baginda dan permaisuri pada jam 6.50 petang itu disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan exco dan agensi kerajaan negeri Pahang.

Baginda kemudian berkenan meluangkan masa 15 minit melawat bazar Ramadan Mahkota Square beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga yang hadir.

Baginda dan permaisuri turut berkesempatan membeli pelbagai juadah berbuka puasa antaranya sata, air kathira, teh susu, pulut panggang, puding raja dan pelbagai jenis kek.

Sejurus itu, Al-Sultan Abdullah menuju ke padang MPK 1 untuk berbuka puasa bersama lebih 1,000 rakyat yang merupakan antara tradisi tahunan pasangan diraja itu sejak dahulu setiap kali Ramadan.