Monday, July 22, 2019
updated 10:55 AM UTC, Jul 22, 2019

MyMOTAC yakin sasar 30 juta pelancong tahun depan

  • Published in Nasional
Foto - FB MyMOTAC

PUTRAJAYA - Kemasukan pelancong diyakini dapat ditingkatkan tahun ini dan mampu mencapai sasaran 30 juta pelancong menjelang tahun 2020.

Kerjasama dengan negara jiran seperti Thailand dilihat sebagai salah satu cara melipatgandakan usaha menarik pelancong ke negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kerjasama silang budaya diyakini dapat mempertingkatkan lagi usaha kerajaan mencapai sasaran kehadiran pelancong.

Kehadiran pelancong Thailand meningkat saban tahun dengan angka terkini dicatatkan pada tahun lalu iaitu seramai 1.9 juta orang.

Ia menjadikan negara jiran itu sebagai penyumbang keempat kemasukan pelancong ke negara ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan hormat Gabenor Narathiwat, Thailand Ekkarat Lessen di pejabatnya di Putrajaya.

Pada pertemuan tersebut Ekkarat Lessen telah menyerahkan surat jemputan berhubung Pesta Pelancongan, Kebudayaan dan Sukan Narathiwat yang bakal berlangsung pada 28 Jun nanti.

Tambah Datuk Mohamaddin, pada kunjungannya di Narathiwat itu nanti akan disertai rombongan kebudayaan yang bertujuan untuk menjalin kerjasama silang budaya Malaysia-Thailand.

Penganjuran Pesta Pelancongan, Budaya dan Seni Narathiwat telah memasuki tahun ke-10 penganjuranya dan Malaysia sering dijemput bagi menghadiri acara tersebut.