Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

Projek Bandar Malaysia akan diteruskan semula

  • Published in Nasional

Foto : FB Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR - Projek Bandar Malaysia yang sebelum ini ditamatkan pada bulan Mei 2017 akan diteruskan semula.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan tersebut dicapai selepas Kabinet mengadakan perbincangan pada 17 April lalu.

Jelas Tun Dr Mahathir, projek Bandar Malaysia yang diwujudkan di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu itu akan diteruskan dengan beberapa pindaan.

Tambah beliau, projek tersebut bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara ini dan berperanan sebagai hab global untuk menarik syarikat teknologi, kewangan serta firma-firma yang tersenarai dalam Fortune 500.

Di samping itu, gergasi teknologi seperti Alibaba dan Huawei juga telah menunjukkan minat untuk mewujudkan pusat ICT mereka.

Bandar Malaysia juga dijangka menjana impak besar dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan menjana nilai pembangunan kasar (GDV) dengan nilai RM140 bilion.

Tun Dr Mahathir menyatakannya dalam sidang media khas di ibu negara.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan projek Bandar Malaysia akan diberikan sekali lagi kepada kontraktor awal iaitu IWH CREC Sendirian Berhad, sebuah konsortium antara Iskandar Waterfront Holdings Sendirian Berhad dan China Railway Engineering Corp (CREC).

Ia kerana pentadbiran sebelumnya telah berlaku tidak adil kepada konsortium tersebut dalam menamatkan perjanjian pertama mereka ketika itu.