Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

Projek tanaman kontan memulihkan masalah kewangan FELDA

  • Published in Nasional

Foto : FB Salahuddin Ayub

 

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan bekerjasama melaksanakan projek tanaman kontan bagi memulihkan masalah kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bernilai RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membentangkan pendekatan baharu itu, semalam.

Jelasnya bagi memulihkan kembali kewangan Felda, mungkin suku daripada jumlah RM1 bilion digunakan untuk memulakan projek itu.

Tambah Salahuddin, MOA mempunyai kepakaran iaitu menerusi agensi seperti MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) yang akan mengambil peranan membantu Felda dan menjayakan konsep tanaman kontan itu.

Menurutnya kedua-dua ketua setiausaha kementerian terbabit akan memulakan perbincangan dan langkah seterusnya akan diambil di peringkat kementerian bagi membantu Felda meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau ditemui pada sidang media selepas sesi Town Hall bersama pelanggan MOA di ibu negara.