Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 12:18 AM UTC, May 24, 2018

Kerugian Forex: Polis Rekod Kenyataan 27 Individu

  • Published in Nasional
KUALA LUMPUR - Polis telah merakam kenyataan 27 individu sejak tahun lepas dan lebih banyak saksi dijangka dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kerugian urus niaga mata wang asing berjumlah RM31.5 bilion yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) antara 1992 dan 1994.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata 19 orang daripada mereka adalah daripada BNM, lima daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan tiga lagi daripada sektor berlainan.

"Buat masa ini, mereka disiasat bagi kesalahan menipu mengikut Seksyen 417 dan 418 Kanun Keseksaan. Tumpuan utama siasatan polis adalah untuk mengenal pasti sama ada terdapat elemen sengaja menyembunyikan fakta untuk menutup kerugian yang dialami BNM dan sama ada terdapat kenyataan mengelirukan yang dibuat kepada Kabinet, Parlimen dan masyarakat berhubung kedudukan kewangan sebenar BNM.

"Selain itu, kami akan menyiasat sekiranya terdapat sesiapa yang dengan sengaja melakukan pengabaian untuk menyembunyikan kerugian sebenar dan sama ada pemindahan serta penjualan saham Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang dimiliki MOF, untuk menyerap sebahagian daripada kerugian yang dialami BNM dalam urus niaga mata wang asing untuk meningkatkan kunci kira-kira BNM,"katanya pada sidang media di Bukit Aman.

Amar Singh berkata siasatan polis masih berjalan dan akan dipertingkatkan dengan memanggil lebih banyak saksi serta mendapatkan lebih banyak dokumen daripada lembaga atau agensi berkaitan untuk melengkapkan siasatan secepat mungkin.
 
((BERNAMA))