Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 2:14 PM UTC, May 24, 2018

KPDNKK Adakan Operasi Bersama 11 Agensi Penguatkuasa

  • Published in Nasional

KUALA TERENGGANU - Sepanjang empat hari pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina, sebanyak 503 dan 12 pemeriksaaan telah dijalankan masing-masing pada peringkat runcit dan borong di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata dalam tempoh itu sebanyak sembilan tindakan kes telah diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 di negeri itu.

Katanya ia melibatkan nilai kompaun RM800 manakala rampasan sebanyak RM466.60 kerana tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa sempena skim kawalan harga musim perayaan melibatkan 11 agensi antaranya PDRM, APM, FAMA dan Jabatan Kesihatan.

Saharuddin berkata operasi berkonsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu melibatkan 70 anggota yang terdiri daripada 40 pegawai penguatkuasa KPDNKK dan 30 penguat kuasa agensi terlibat.

Beliau berkata sepanjang operasi, peniaga dikehendaki menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaaan.

((BERNAMA))